CERPEN : Bukan Yang Akhir.

Tiket ERL digenggam erat. Di tangan kanannya pula memegang telefon pintar jenama ASUS. Dari tadi dia sibuk menyoroti paparan ‘timeline‘ akaun Facebook miliknya.

“Ish ish ish”. Dia geleng-geleng kepala.

“Betul kata Mahfuz sewaktu Liqa’ ilmu di masjid KLCC semalam. Hari-hari membaca berita yang viral di Facebook memang boleh menyebabkan sindrom kemurungan”. Getus hati kecilnya.

“Aku kadang-kadang jadi penat dengan dunia yang gila ni”.

Suara Mahfuz masih lagi terngiang-ngiang dalam fikirannya.

Benar. Dia juga rasa begitu. Dengan pelbagai krisis negara, krisis pemimpin, dan krisis masyarakat.

Tapi hati dia bertambah sebal bila membaca status-status yang menghina, mengutuk dan tak kurang status yang tidak tentu lagi sahihnya tetapi laju sahaja dikongsi oleh rakan-rakan media sosialnya.

Dia juga pernah begitu.

Sehinggalah suatu masa dia tersentap dengan kata-kata dari abang naqibnya dalam sesi berita dunia sewaktu usrah.

“Tinggalkan perdebatan yang sia-sia. Bekerjalah untuk Islam”

Kata-kata abang naqibnya waktu itu bukanlah ditujukan khas buat dia. Tapi bak kata orang dulu-dulu, siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya.

Sebelum itu memang dia selalu berbalas komentar tentang politik, ekonomi atau apa-apa sahaja topik yang boleh diperdebatkan dengan rakan sosial yang tidak sependapat dengannya. Kadang-kadang sampai berejam-rejam juga dia menghadap telefon pintar jenama ASUS miliknya.

Pagi itu dia cuba menahan jarinya daripada menaip perkara yang sia-sia. Dia belajar untuk lebih banyak diam, memerhati dan membaca manusia.

Cukuplah. Dia tidak mahu pahala puasanya berkurangan disebabkan perbuatannya.

Sebagai mahasiswa perubatan di salah sebuah kolej universiti terkenal di Cyberjaya, dia sedar, masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

Membaca tulisan dan mendengar luahan masyarakat, banyak lagi permasalahan dalam bidang yang dipelajarinya. Banyak lagi perkara yang masyarakat tidak jelas. Isu homebirth, epidural, doula, dan terbaru isu lama yang berbangkit tentang doktor yang bekerja lebih masa.

Dia fikir apa agaknya sumbangan yang boleh dia lakukan untuk kemaslahatan ummah?

Dia teringat seorang mahasiswa yang memberi kritikan kepada pelajar sains akan sejauh mana mereka menanggap atau melihat ilmu sains yang dipelajari sebagai instrumen utama dalam memperjuangkan keadilan serta hak-hak alam dan kemanusiaan itu sendiri.

Aplikasi sains itu sendiri sepatutnya adalah yang membawa kesejahteraan kepada manusia. Bukankah?

Beberapa minit berlalu. ERL yang ditunggu pun tiba.

Sekilas, dia terpandang seorang wanita berjubah hitam dan bertudung biru.

Dia tergelak kecil.

“Arabisasi atau Neo Talibanisasi?” Dia menjuihkan bibirnya sendiri. Teringat satu artikel yang dibaca beberapa hari lepas.

“Lebih baik berjubah bertudung litup. Daripada aurat terdedah tak tertutup”

Sekilas lagi dia pandang wanita tersebut. Sedang khusyuk membaca Al-Quran yang beserta tafsir berwarna krim di tangannya. Sedikit kagum.

“Astaghfirullah”. Cepat-cepat dia larikan pandangan.

“Mahu ke mana nak?”

Tiba-tiba seorang pakcik separuh umur menyapanya sambil tersenyum manis.

“Err, hendak ke KLIA berjumpa kawan. Pakcik menuju ke KLIA juga kan?” Dia cuba berbasi-basa.

“Sukarelawan?” Katanya lagi apabila melihat tag nama  yang tertulis ‘Akhsan’ di leher lelaki separuh umur itu.

“Iya. Pakcik sepatutnya ikut rombongan ke Kelantan semalam untuk melawat mangsa banjir di Kuala Krai dan Guchil. Tetapi disebabkan ada hal semalam, jadi terpaksa pergi hari ini dengan kapal terbang”

“Owh”dia mengangguk.

Bermula dengan bertanya arah tuju, mereka akhirnya berborak panjang di dalam ERL.

Sampai di KLIA, pakcik separuh umur tadi menghulurkan kad bisnes miliknya.

‘Akhsan Travel Agency’
Tertulis kemas di atas kad tersebut.

“Kalau mahu ke mana-mana telefon sahaja”

“Oh, sebelum kita berpisah, kenalkan, ini anak pakcik. Laila namanya”

Dia terkedu seketika. Bukankah itu wanita yang dia perhatikan tadi? Risau juga kalau-kalau pakcik tadi perasan dia ada memerhatikan anaknya.

“Belajar rajin-rajin ya nak. Assalamualaikum” Senyum lebar sambil menepuk-nepuk bahu, lagak seorang bapa kepada anaknya.

“Waalaikumussalam warahmatullah” Dia menjawab perlahan. Segan.

Kini dia meneruskan langkah menuju ke masjid KLIA. Ada janji dengan kawan-kawannya untuk beriktikaf bersama-sama.

Harapannya, biarlah Ramadhan yang masih berbaki ini dia isi dengan perkara-perkara yang mendidik dirinya. Supaya dia dapat keluar daripada sekolah tarbiah selama sebulan itu dengan menjadi individu yang lebih baik dan berguna. 

Ramadhan bakal berakhir. Tetapi azamnya baru sahaja bermula.

*****

Alhamdulillah, tabung sumbangan semakin bertambah di bulan Ramadhan. Teruskan menyumbang, semoga kita sama-sama dapat membantu saudara kita untuk merayakan Aidilfifri dengan gembira.

image

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s